Lesen baharu jual arak dibekukan
Kementerian Wilayah Persekutuan mungkin membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak berikutan kejadian kemalangan maut membabitkan pemandu mabuk yang berlaku di negara ini sejak kebelakangan ini.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata tindakan pembekuan itu adalah wajar sehingga satu garis panduan akan diwujudkan dan semakan perundangan dilakukan oleh pihaknya.
"Dengan kejadian pemandu mabuk dan menyebabkan kemalangan, wajar pengeluaran lesen baru menjual arak dibekukan sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan.
"Lesen premis pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu diperketatkan," katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya, di sini hari ini.
Sebelum ini, hampir setiap hari media melaporkan mengenai kemalangan maut yang membabitkan individu mabuk dan terbaharu, BH melaporkan seorang lelaki dirempuh sebuah kereta dipandu individu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke ibu negara.
Difahamkan, mangsa berusia 44 tahun itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang dijual isterinya.
Bagaimanapun, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu dirempuh Nissan Grand Livina dipandu suspek berusia 21 tahun dari arah belakang.
Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke sebelah kiri bahu jalan, manakala motosikalnya diseret sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.