Pasar Raya Di Melaka Diarah TUTUP Setelah Dikunjungi 2 Individu Positif C0V1D-19.
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengarahkan sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah, Alor Gajah ditutup selama dua minggu mulai malam tadi hingga 17 Mei ini berikutan dua individu didapati positif Cov1d-19 pernah mengunjungi premis itu, minggu lalu.
Seramai 150 petugas pasar raya berkenaan diarahkan menjalani proses saringan kesihatan di Klinik Kesihatan Masjid Tanah hari ini bagi membantu proses mengenal pasti tahap kesihatan masing-masing. Sumber berkata, petugas terbabit perlu menjalani proses berkenaan bagi membolehkan jabatan itu mengenal pasti sama ada mereka mempunyai tanda awal dijangkiti wabak berkenaan atau sebaliknya.
Seorang petugas pasar raya itu yang enggan namanya disiarkan berkata, beliau menjalani proses saringan pada 8.30 pagi hari ini dengan petugas klinik terbabit mengambil contoh air liur, kahak dan air dalam hidungnya.
“Saya sudah menjalani saringan dan harap OK, saya tidak mahu dijangkiti wabak itu,” katanya.
Sumber itu berkata, dalam kejadian 3 Mei lalu, dua individu iaitu lelaki berusia 20 tahun dan wanita berusia 42 tahun yang menghuni pusat pengajian agama yang turut menyediakan kelas tahfiz al-Quran di Solok Duku, Masjid Tanah, disahkan positif Cov1d-19.
Berikutan itu, Jabatan Kesihatan negeri membawa mereka menjalani pengasingan dan rawatan di Hospital Melaka. Seramai 86 penghuni pusat berkenaan dibawa ke Pusat Kuarantin Covid-19 Melaka di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CReATE) Jabatan Kerja Raya di Alor Gajah bagi menjalani proses kuarantin berpusat.